Friday, March 12, 2010

Amarah.

Cuaca kebelakangan ini memamg panas. Berbahang. Bila hari panas, badan pun rasa panas sama. Melekit semacam je rasanya. Seperti serba tak kena. Tidur tak selesa, mandi pun tak terasa, kipas di rumah bagaikan mahu tercabut gamaknya. Jadi hati pun mula jadi panas juga. Semuanya berkeadaan begitu tak terkecualilah saya sendiri. Mudah terasa hati, rasa mahu menangis pendek kata... jiwa kacau.

Akan tetapi, sementelahan di hari Jumaat yang berkat ini, seorang teman sepejabat yang gemar memberikan email tazkirah ringkas untuk tatapan kami sepejabat telah mengubah persepsi saya atas apa yang berlaku lewat ini. Harap-harap ada yang sudi meluang masa membacanya....

'Siapa sepak kucing malang itu?'

"Meoww!!!" seekor kucing menjerit kesakitan.


Malam itu malam yang malang buat si kucing. Dia tidur dengan kesakitan dan kemarahan. Perutnya senak disepak tanpa hujung pangkalnya.
 "Apa salah aku?" menung si kucing di balik almari.

PETANG ITU

"Kenapa awak lewat fakskan dokumen tersebut?" tanya seorang CEO kepada setiausahanya.
"Err, Pengurus Jualan lewat menyerahkannya kepada saya" jawab beliau. Terketar-ketar.
"Ahhh! Macam-macam alasan awak. Saya bosan mendengarnya. Pergi semula kepada Pengurus Jualan dan betulkan dokumen tersebut. Sudahlah lewat. Salah pula tu!" bentak bos besar.

Marah sungguh.

Setiausahanya dengan muka yang merah padam meninggalkan pejabat beliau menuju kepada Pengurus Jualan.
"Itulah tuan! Tuan yang lewat serahkan dokumen tersebut, saya pula yang kena marah. Dokumen salah pula tu!" kata Setiausaha CEO tersebut.

Pengurus Jualan terkejut.

"Awak kalau nak berurusan dengan saya, ketuk pintu dahulu. Itu pun awak tak tahu ke?" Pengurus Jualan meninggikan suara.
"Ahhh! Sudahlah. Ketuk pintu ke, tak ketuk pintu ke, Tuan tetap lewat serahkan semuanya kepada saya. Ambil dokumen ini dan betulkan semula!" Setiausaha CEO menghempas segenggam dokumen itu ke meja.

Beliau terus meninggalkan Pengurus Jualan.

Sama-sama marah.

Petang itu sungguh tercemar bagi Pengurus Jualan. Geram dengan sikap Setiausaha CEO yang tidak tahu berbudi bahasa. Geram dan marah dirinya diburukkan lagi oleh kesesakan jalanraya luar biasa.

"Aduh! Sempatkah aku kejar siaran Berita malam ini?" Pengurus Jualan sudah bengang.

Kemungkinan besar beliau tidak sempat melihat siaran temuramah siaran Berita TV10 dengannya siang tadi. Tiba di rumah, jam sudah mencecah 8:30 malam. Sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke rumah, isterinya dengan wajah berkerut di dahi menunggu di ruang tamu.

"Kenapa dengan awak?" tanya Pengurus Jualan kepada isterinya.

"Abang pakai baju comot sangat di televisyen tadi. Kawan saya telefon. Katanya saya tak jaga makan pakai suami!" kata sang isteri yang sebenarnya mahu bergurau dengan suami.

"Ahhh! Aku banyak masalah, itu pula yang disibukkannya! Makan malam dah siap ke???" tengking si suami yang sedang baran.

Si isteri sangat terkejut dengan amarah suaminya malam itu. Niat asal mahu bergurau berubah menjadi musibah. Tanpa banyak bicara beliau segera menuju ke dapur.

"Mama, tengok lukisan Adam! Cantik tak?" tiba-tiba si anak muncul di dapur dengan sekeping lukisan di tangan.

"Ahhh, sibuk sahaja kamu ni. Lukisan, lukisan, lukisan. Menghabiskan kertas A4 sahaja. Pergi naik atas buat kerja sekolah!" si ibu menengking anaknya.

Adam sungguh terkejut. Tidak sangka lukisannya berakhir dengan kemarahan si ibu.

Tiba-tiba kucing kesayangannya datang menggosok-gosokkan badan di kaki Adam.

"Meowww!!!" kucing itu menjerit.

Adam menyepak si kucing dengan penuh kemarahan.

Soalannya, siapakah sebenarnya yang menyepak si kucing malang itu?

Abu Hurairah radhiyallaahu 'anhu berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam dan meminta wasiat (nasihat) daripada Baginda. Lalu Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam bersabda:
"Janganlah kamu marah! (Baginda mengulangnya beberapa kali dengan pesan yang sama: Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah!" [Hadith riwayat al-Bukhari]

Besarlah pahala suami, isteri, anak, malah majikan, atau setiausahanya yang berjaya memberhentikan musibah berantai ini.


Boboi tidur dalam kepanasan

**************************************************************************
Tak terjangkau di fikiran saya untuk menyepak Boboi sedemikian rupa hatta dalam keadaan marah sekalipun. Nauzubillah!!!!

~tintaku menari...
tapi berpeluh-peluh~

No comments: